2010-01-29

Era Michels-Cruyff dan Josep Lluis Nunez


Zaman kegemilangan bolasepak di Belanda bermula seawal 1970-an iaitu semasa era gandingan hebat jurulatih Rinus Michels dan pemain lagenda Johan Cruyff. Rinus Michels yang sedang membimbing FC Barcelona pada ketika itu dilantik sebagai jurulatih Belanda pada tahun tunggal 1974 menghadapi Piala Dunia 1974. Hasilnya, Belanda berjaya ke final Piala Dunia buat pertama kali setelah menewaskan kedua-dua pasukan Brazil dan Argentina dan tewas kepada Jerman Barat di akhir kejohanan. Johan Cruyff, playmaker Belanda yang juga bersama-sama Michels di Barca pada ketika itu, dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan, mendahului Franz Beckenbauer yang menjulang pasukannya sebagai juara. Di Barcelona, Michels dan Cruyff adalah gandingan yang bertanggungjawab mengakhiri kemarau liga selama 14 tahun di Barca pada tahun 1974. Mereka berdua juga merupakan kelahiran Belanda yang pertama menyertai FC Barcelona. Michels meninggalkan Ajax ke Barca pada 1971 sebelum membawa masuk bekas pemainnya, Cruyff pada 1973. Kedua-dua menamatkan karier terawal bersama Barca pada 1978 sebelum kerusi presiden diambil alih oleh Josep Lluís Núñez Clemente.

Rinus Michels merupakan individu yang berIQ tinggi, memperkenalkan corak permainan Total Football iaitu corak yang mementingkan versatiliti, di mana pemain memiliki keupayaan dan bersedia untuk menggalas tugas di posisi yang berbeza, memberi jurulatih kelebihan fleksibiliti untuk memanipulasi pemain-pemain sepanjang perlawanan. Michels dan Cruyff telah berjaya mempraktikkan Total Football di Ajax sebelum memperkenalkannya ke Barca dan ke peringkat antarabangsa semasa Piala Dunia 1974. FC Barcelona adalah antara kelab yang paling awal dan paling aktif mengaplikasikan Total Football sehingga kini, selain beberapa kelab England. Kebanyakan kelab-kelab berprestij mempraktikkan Total Football dengan menggunakan kelebihan pada pemain pertahanan terutamanya fizikal dan stamina, untuk membantu serangan dan mengelirukan pihak lawan. Total Football bukan suatu yang baru di Ajax. Walaupun ia dipopularkan secara taktikal oleh Michels, tetapi jurulatih beliau, Jack Reynolds dari Manchester, yang terlebih dahulu menpraktikkannya di Ajax selama setengah abad.

Pada 1978, presiden lagenda Barca, Josep Lluis Nunez, mengambil alih tampuk kepresidenan FC Barcelona dan memulakan revolusi pembangunan di Nou Camp untuk mengangkat FC Barcelona sebagai institusi sukan yang terhebat di dunia seperti yang dapat dilihat kini. Revolusi ini memaksa Barca melupakan hasrat merangkul kejuaraan untuk jangkamasa yang lama pada beberapa siri kejohanan lantaran banyak dana dihabiskan untuk pembangunan kelab. Tetapi satu pelaburan yang berbaloi yang pulangannya dapat dirasakan oleh peminat-peminat dan ahli-ahli FCB pada ketika ini. Bermula pada tahun 1979, Nunez menubuhkan La Masia sebagai pusat akademi remaja FC Barcelona. Pada 1982, Mini Estadi ditubuhkan sebagai stadium rasmi untuk pasukan simpanan Barca, FC Barcelona Atletic. Kini Mini Estadi diiktiraf sebagai stadium pasukan simpanan yang terbaik di Eropah. Nunez juga telah menaiktarafkan Palau Blaugrana, kompleks sukan Barcelona menjadikan kapasitinya bersaiz 8500. Dan membina sebuah muzeum untuk FC Barcelona pada 1984. Sepanjang kepresidenannya Nunez telah berjaya meningkatkan angka keahlian FC Barcelona mencecah 100000 ahli, yang mendorong penaiktarafan Nou Camp untuk mencapai sasaran kapasiti melepasi 100000 pengunjung.

Selain Total Football, FC Barcelona juga pernah mempraktikkan corak permainan bolasepak England dengan formasi 4-4-2 semasa di bawah kendalian jurulatih dari England, Terry Venables. Venables yang telah menempa nama di England merupakan jurulatih bereputasi tinggi yang pertama dibawa masuk oleh Nunez ke Nou Camp. Venables bijak mengambil peluang atas kekentalan pemain pertahanan seperti Julio Alberto Moreno dan Migueli, membolehkan beliau memanipulasi pemain-pemain lain untuk serangan. Pemain kunci Venables sepanjang eranya adalah Bernd Schuster, seorang pemain tengah yang rajin yang berkhidmat di Barca sejak 1980. Beliau banyak membantu bahagian serangan serta banyak menyumbangkan gol untuk FC Barcelona. Sama seperti gandingan Michels-Cruyff, gandingan Venables-Schuster berjaya menamatkan kemarau kejuaraan liga di FC Barcelona selama 11 tahun pada tahun 1985. Namun, sama seperti dekad sebelumnya, FC Barcelona menamatkan dekad tersebut dengan hanya 1 kejuaraan liga.

Tiada ulasan: