2010-01-15

Era Franco

1931, 4 April - Raja Alfonso XIII meninggalkan Sepanyol selepas polisinya mewakilkan diktator Primo de Rivera sebagai kuasa pemimpin, ditentang hebat oleh rakyat Sepanyol, sekaligus mengakibatkan krisis politik dan ekonomi melanda Sepanyol. Berakhirnya zaman monarki di Sepanyol memberi kuasa pentadbiran kepada kerajaan Republikan yang cuba mempraktikkan corak pemerintahan demokrasi di Sepanyol.

1932 - Republikan memberi kuasa autonomi kepada wilayah-wilayah komuniti di Sepanyol, terawal kepada wilayah Catalonia dibawah kepimpinan kerajaan sosialis Catalonia (Generalitat de Catalonia). Ketidaksefahaman yang kuat wujud antara puak-puak berhaluan kiri daripada golongan liberal, marxis, sosialis, dan komunis, yang bergabung membentuk Barisan Popular menentang kerajaan Republikan Sepanyol secara demokrasi.

17 Julai 1936 - Perang Saudara Sepanyol tercetus antara sebuah kuasa Nasionalis dibawah General Francisco Franco yang memiliki kekuatan dan bantuan ketenteraan yang kuat, menentang kerajaan Republikan Sepanyol. Gerakan tentera Franco bermula dengan kebangkitan tentera Sepanyol Afrika di Morocco yang berpaling tadah.

Franco disokong oleh golongan fasis Falange, golongan Carlis, dan bekas kuasa monarki Sepanyol, serta mendapat bantuan ketenteraan daripada kerajaan monarki Islam Morocco, Portugal, kerajaan Nazi Jerman, dan kerajaan Fasis Itali. Republikan pula disokong oleh barisan-barisan berhaluan kiri yang terdiri daripada pertubuhan buruh, komunis, marxis, sosialis, liberal, dan anarki. Dari segi ketenteraan pula Republikan dibantu tentera anarki Catalunia CNT-FIA yang berkubu di Catalonia, dan bantuan ketenteraan daripada negara-negara komunis dan marxist seperti Soviet Union, Mexico, dan Romania.

1937 - Franco berjaya menguasai sebahagian besar Sepanyol, meninggalkan beberapa wilayah di bahagian persisiran pantai Sepanyol di sebelah timur kepada Republikan iaitu Madrid, Castilia, Aragon, Catalunia, dan Valencia. Madrid dijadikan kubu hadapan. Ibu negara Sepanyol dipindah ke Valencia.

1938 - Franco berjaya menawan wilayah Aragon hingga ke pesisir pantai. Menyebabkan Catalan terpisah daripada wilayah-wilayah Republikan yang lain. Kerajaan Republikan memindahkan ibu negara Sepanyol ke Barcelona dan mengisytiharkannya sebagai kubu terakhir.

1 April 1939 - Kerajaan Nasionalis dibawah diktator General Francisco Franco berjaya merampas tampuk pemerintahan Sepanyol daripada kerajaan Republikan.

sumber : wikipedia

------------------------------


1928 - Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol telah meluluskan penganjuran kejohanan liga pada peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai La Liga. 10 kelab daripada 4 komuniti berbeza dipilih sebagai pasukan-pasukan sulung penyertaan berdasarkan pencapaian pada Copa del Rey. Barcelona, Espanyol, dan Europa dari Catalonia. Real Madrid dan Athletico Madrid dari Castilia. Atletic Bilbao, Real Sociedad, Real Union, dan Arenas Club de Getxo dari Basque. Dan Racing Santander dari Cantabria. Barcelona berjaya merasmikan kejuaraan pada kejohanan sulung La Liga pada 1929. Sehingga kini, hanya Real Madrid, Barcelona, dan Athletic Bilbao yang belum pernah tersingkir dari kejohanan.

Jadual Kedudukan Pasukan Pada La Liga Pertama 1929

Position Club Played W D L GF GA Points GD
1 FC Barcelona 18 11 3 4 37 23 25 +14
2 Real Madrid 18 11 1 6 40 27 23 +13
3 Athletic Bilbao 18 8 4 6 43 33 20 +10
4 Real Sociedad 18 8 4 6 46 41 20 +5
5 Arenas Club de Getxo 18 8 3 7 32 39 19 -7
6 Club Atlético de Madrid 18 8 2 8 43 41 18 +2
7 RCD Espanyol 18 7 4 7 32 38 18 -6
8 Club Esportiu Europa 18 6 4 8 45 49 16 -4
9 Real Unión de Irún 18 5 2 11 40 42 12 -2
10 Racing de Santander 18 3 3 12 25 50 9 -25


1936 - Semasa perang saudara Sepanyol, hanya kelab yang berpengkalan di Madrid, Castilia, Catalonia, dan Valencia, yang masih di bawah kerajaan Republikan. Maka sepanjang peperangan, La Liga terpaksa dimansuhkan selama 3 musim.

1937 - Liga Mediterranean diperkenalkan menggantikan La Liga, melibatkan kelab-kelab di bawah kerajaan Republikan, manakala Piala Kebebasan Sepanyol menggantikan Copa del Rey. Wakil dari Madrid tidak dapat menyertai Liga Meditteranean kerana kawasan mereka diisytiharkan Republikan sebagai kubu hadapan. Maka Liga Meditteranean mengambil separuh wakil dari Kejohanan Catalonia dan separuh lagi dari Kejohanan Levante. Barcelona dan Espanyol masing-masing bergelar juara dan naib juara tunggal Liga Meditteranean. Tetapi Barcelona menarik diri dari Piala Kebebasan Sepanyol untuk edisi jelajah ke US dan Mexico.

1938 - Liga Meditteranean gagal untuk diteruskan apabila Valencia terpisah daripada Barcelona, digantikan dengan Liga Catalan yang hanya mempertemukan kelab-kelab di wilayah Catalonia. Walaupun hanya membawa pulang 4 orang pemain ke Sepanyol, jurulatih Barcelona, Patrick O'Connell, berjaya menyelamatkan kewangan kelab daripada edisi jelajahnya, sekaligus menjuarai kedua-dua kejohanan yang dianjurkan iaitu kejohanan tunggal Liga Catalan dan juga Kejohanan Catalunia.


1939 - Kejohanan La Liga kembali disambung di bawah pemerintahan rejim Franco selepas tamat peperangan. Kejohanan Catalunia yang tidak pernah dihentikan sejak diperkenalkan, berlangsung buat kali terakhir pada final 1940 dengan RCD Espanyol sebagai juara penutup. Kerajaan diktator Franco mengarahkan supaya ia dimansuhkan sebagai mematuhi polisi kerajaan menghapuskan segala bentuk pertubuhan atau penganjuran yang berasaskan semangat nasionalism.

-----------------------------


Pemerintahan diktator Franco banyak memberi tekanan kepada institusi-institusi di Catalonia akibat dari diskriminasi sosial dan politik. Ini memandangkan Catalonia adalah wilayah yang paling kuat semangat nasionalism berbanding dengan wilayah lain sejak dianugerahkan kuasa autonomi pada tahun 1932. Rejim Franco melarang sebarang penerbitan bercetak atau suara menggunakan bahasa Catalan. Dari sudut pembangunan, saluran bantuan ekonomi ke Madrid dipertingkatkan. Sebaliknya di Barcelona, diskriminasi ekonomi diperhebatkan. Diskriminasi ini memberi kesan yang berpanjangan sehingga konstitusi demokratik Sepanyol dikembalikan pada 1978, 3 tahun selepas kematian Franco, yang membolehkan Pentadbiran Catalunia berkuasa semula.

Di FC Barcelona, kelab terpaksa menghadapi penurunan bilangan ahli yang mendadak bermula sejak kejatuhan kerajaan monarki Alfonso XIII. Sebulan selepas bermula perang saudara, presiden FCB, Josep Sunyol dikesan sebagai ahli Republikan Kiri Catalonia, dan dibunuh oleh rejim Franco semasa Patrick O'Connel memulakan edisi jelajah Barca ke benua Amerika. Semasa perang saudara pada 16 Mac 1938, tentera fasis bertindak mengebom bangunan pejabat FCB.

Selepas peperangan, larangan ke atas penggunaan simbol Catalan secara rasmi termasuk di stadium dikeluarkan oleh kerajaan Franco. Tidak cukup dengan itu, kerajaan Franco melantik pengikut setianya, Enrique Pineyro sebagai presiden kelab. Satu-satunya jasa Pineyro adalah membawa masuk pemain yang meninggalkan Sepanyol ke Perancis semasa perang saudara, iaitu Josep Escola dan Domenec Balmanya. Namun, Pineyro terpaksa meninggalkan kelab selepas diboikot oleh para penyokong apabila tewas 1 gol berbalas 11 kepada Real Madrid di Santiago Bernabeu pada perlawanan kontroversi Copa del Generalisimo pada 1943.

Meskipun dibeban dengan tekanan politik dan dasar disriminasi yang hebat daripada kerajaan Franco, pihak pengurusan FC Barcelona berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan dan cuba mengelakkan diri dari terjebak dalam apa jua bentuk gerakan berunsur nasionalis yang dicop oleh rejim Franco sebagai Catalanism. Kesan pendekatan ini banyak menguntungkan kelab. Sepanjang dekad pertama pemerintahan Franco, ahli kelab bertambah setiap hari dan mencecah angka 25000 menjelang ulang tahun ke-50 FC Barcelona pada tahun 1949. Ini mendorong FCB mencari tapak gelanggang baru bagi menggantikan Les Corts. Maka pada tahun 1957, FC Barcelona berpindah ke stadium baru di Nou Camp yang berkapasiti 90000.

Tiada ulasan: