2010-01-08

Kelahiran FC Barcelona dan Era Joan Gamper

Joan Gamper, seorang peniaga daripada Switzerland merupakan insan yang bertanggungjawab menubuhkan FC Barcelona pada 29 November 1899 bersama-sama kawan-kawannya. Sebelum berhijrah ke Barcelona, Joan Gamper adalah pemain pasukan Switzerland FC Basel. Selepas FCB berjaya ditubuhkan, Gamper dan rakan-rakannya menjadi generasi pertama bermain untuk pasukan. Gamper berperanan sebagai kapten selaku jurulatih pasukan manakala Gualteri Wild daripada England dilantik sebagai presiden dan pengurus pasukan. Selepas 2 tahun, Bartomeu Terradas pula mengambil alih jawatan Wild pada 1901. Gamper sendiri pernah menjawat jawatan presiden FC Barcelona sebanyak 5 kali berselang-seli bermula 1908 hingga 1925 selama 9 tahun.

Barisan yang bertanggungjawab menubuhkan FC Barcelona pada 1899 : Joan Gamper, Gualteri Wild, Lluís d'Ossó, Bartomeu Terradas, Otto Kunzle, Otto Maier, Enric Ducal, Pere Cabot, Carles Pujol, Josep Llobet, John Parsons and William Parsons.


Barisan pemain-pemain rasmi pertama FC Barcelona pada 1901 : Arthur Witty, Vicenc Reig, Otto Maier, Pere Cabot, Josep Llobet, Viderkeher, Valdes, Williams Parsons, Steinberg, Joan Gamper, Green, Conarre

Warna Biru-Merah yang menjadi warna identiti FC Barcelona diinspirasikan daripada kelab FC Basel, bekas kelab Joan Gamper. Logo pertama FCB diambil daripada logo Catalan yang menjadi logo rasmi pentadbiran bandaraya Barcelona pada ketika itu. Kit pertama yang dipakai oleh pasukan Joan Gamper juga mempunyai warna biru dan merah sebelah-menyebelah.


Copa Macaya adalah kejohanan liga bolasepak pertama di Sepanyol yang mempertemukan kelab-kelab dari seluruh wilayah Catalonia, diperkenalkan pada 1900 oleh Alfons Macaya, presiden Hispania AC pada ketika itu. Hispania AC menjadi juara sulung kejohanan tersebut semasa final pertama pada 1901. FC Barcelona berjaya merampas gelaran setahun kemudian diikuti oleh RCD Espanyol. Persatuan Bolasepak Catalunya yang ditubuhkan pada 11 November 1900 yang merupakan pertubuhan pengurusan bolasepak terawal di Sepanyol, mengambil alih penganjuran Copa Macaya pada 1903 dan menukar namanya kepada Kejohanan Bolasepak Catalan (Campeonato de Catalunia). Sepanjang penganjuran kejohanan tersebut sebelum dimansuhkan pada 1940, FC Barcelona telah berjaya merangkul 22 kejuaraan, manakala RCD Espanyol sebanyak 11 kejuaraan. Persatuan Bolasepak Catalunya kini bertanggungjawab menguruskan pasukan bolasepak kebangsaan Catalan, menganjurkan Copa Catalunya, mentadbir kejohanan divisyen 4 kumpulan 5 (komuniti Catalan) liga Sepanyol, serta kejohanan divisyen 5 hingga 9 komuniti Catalan.

FC Barcelona memulakan detik permainan pada tahun 1901 dengan menyertai kejohanan liga Copa Macaya, dan kejohanan kalah mati Copa del Rey yang baru diperkenalkan pada ketika itu. FCB berjaya menjuarai Copa Macaya pada final 1902 namun kalah pada final Copa del Rey kepada Bizcaya di Madrid. Setahun kemudian, FCB hanya berjaya menjuarai kejohanan tunggal Copa Barcelona. FC Barcelona gagal memenangi sebarang trofi selepas kali kedua menjuarai Kejohanan Bolasepak Catalan (CdC) pada final 1905. Begitu juga dengan Copa del Rey, selepas bergelar naib juara sulung, FCB masih gagal ke final buat kali kedua. Kemerosotan pencapaian kelab ini memberi kesan buruk kepada status kewangan kelab.


Pada 1908, Joan Gamper mengambil alih tampuk jawatan presiden daripada bekas rakan sepasukan, Vicenc Reig, dan kemudian membawa FCB ke Carrer Industria yang berkapasiti 8000. Gamper seterusnya memulakan kempen mendapatkan ahli untuk mengumpul dana bagi menghidupkan kelab. Sebaik selepas pengambilalihan itu, FCB berjaya menjuarai CdC sebanyak 3 kali berturut-turut. FCB juga berjaya ke final Copa del Rey buat kali kedua pada 1910 dan bergelar juara buat kali pertama. Pada 1912, FCB berjaya mendapatkan bintang baru daripada England, Jack Greenwell yang bermain selama 5 musim. Greenwell menyertai FCB bersama-sama seorang lagi lagenda kelab, Paulino Alcantara. Sebaik Greenwell menggantung butnya, Joan Gamper kembali sebagai presiden pada 1917 dan melantik Greenwell sebagai pengurus rasmi FCB yang pertama. Gandingan mantap Joan Gamper dan Jack Greenwell berjaya membawa FC Barcelona ke zaman emasnya yang pertama. Pada tahun 1922, FCB berjaya mengumpul 10000 ahli, membolehkan mereka berpindah ke stadium baru di Les Corts, dan mengembangkan kapasiti stadium daripada 22000 kepada 60000. Sepanjang era Joan Gamper dari awal penubuhan kelab hingga beliau meninggalkan FC Barcelona, pasukan FC Barcelona berjaya merangkul beberapa kejuaraan.

- sebelum Gamper menjadi presiden ...........................................1 CdC (05)
- sebelum kemunculan Greenwell ................................................3 CdC (09,10,11) + 2 CdR (10,12)
- semasa Greenwell bermain .........................................................2 CdC (13,16) + 1 CdR (13)
- semasa Greenwell menjadi pengurus ........................................5 CdC + 3 CdR
- tahun terakhir Joan Gamper di FC Barcelona pada 1925 .............1 CdC + 1 CdR
- jumlah kejuaraan ..........................................................................12 CdC + 6 CdR


Pada saat-saat terakhir sebelum Gamper meninggalkan FC Barcelona, berlaku insiden yang mengakhiri kariernya di FC Barcelona pada 24 Jun 1925. Gamper didakwa atas kesalahan membangkitkan semangat kebangsaan Catalanism apabila beliau menjemput band "British Royal Marine" untuk menyampaikan lagu "God Save The Queen" iaitu lagu kebangsaan United Kingdom. Disusuli dengan penyokong FC Barcelona menghina "Royal March", lagu kebangsaan Sepanyol, sebagai tindakbalas kepada pemerintahan diktator Primo de Rivera. Akibatnya, Les Corts ditutup selama 6 bulan dan Joan Gamper diarahkan meletak jawatan seumur hidup. 5 tahun kemudian, Joan Gamper membunuh diri akibat masalah kewangan dan peribadi.

Sebagai penghormatan di atas jasa Joan Gamper membangunkan kelab, FC Barcelona akan menganjurkan perlawanan persahabatan setiap tahun yang dinamakan Trofi Joan Gamper. Pada 19 Ogos 2009, perlawanan Trofi Joan Gamper menemukan FC Barcelona dengan Manchester City yang menyaksikan Manchester City menang tipis 1-0

Tiada ulasan: