2010-01-22

Kemarau Liga dan Permulaan ElClassico

Diskriminasi antara wilayah pada zaman pemerintahan Franco memberi kesan terus kepada perkembangan bolasepak di antara kedua-dua buah wilayah di Madrid dan Catalonia khususnya.


Di Madrid...

Real Madrid kembali diiktiraf sebagai kelab diraja sebaik bermula pemerintahan Franco. Nama kelab ditukar daripada Madrid CF menjadi "Real" Madrid, melayakkan Real mendapat keupayaan potensi kewangan yang tidak terhad daripada pembiayaan kerajaan. Real Madrid umpama mesin bolasepak yang menjadi bahan eksperimen Franco, bukan lagi sebuah pasukan bolasepak tulen yang layak disaingi. Sebagai ujian untuk hipotesis pertama, Presiden Santiago Bernabeu Yeste berjaya mengusul kejohanan di peringkat Eropah kepada UEFA, sekaligus berjaya menyandang gelaran juara Eropah selama 5 tahun berturut-turut bermula pada kejohanan pertama pada 1955.

Berpuas hati dengan pencapaian di peringkat benua, Bernabeu meninggalkan penaklukan Eropah dan meneruskan eksperimen di liga tempatan. Sebelumnya, kerajaan Franco berjaya menghapuskan semua bentuk kejohanan di peringkat wilayah dan memaksa semua kelab di Sepanyol bertumpu kepada La Liga. Selama 3 dekad bermula seawal dekad 60-an hingga penghujung 80-an, daripada 30 musim yang dipertandingkan, Real Madrid berjaya merangkul 19 kejuaraan keseluruhan.

Di Barcelona...

2 dekad selepas pemerintahan Franco pada tahun 1960, di kala berlangsung persaingan adil dan sihat antara FC Barcelona dan Real Madrid, FC Barcelona berjaya mengumpul koleksi terbanyak La Liga dengan 8 kejuaraan, mengatasi Real Madrid dan Atletic Bilbao dengan kelebihan 2 kejuaraan.

1 kejuaraan pada kejohanan pertama La Liga pada 1929
1 kejuaraan pada 1945 (selepas 16 tahun)
4 kejuaraan berkembar sebelum ke Nou Camp 48||49 dan 52||53
2 kejuaraan berkembar di Nou Camp 59||60

Namun untung nasib FC Barcelona kemudiannya tidak sebaik Real. Penyiapan stadium baru mengakibatkan kelab hanya mempunyai baki kewangan yang terhad untuk berbelanja untuk pembelian pemain baru. Sekaligus menyebabkan FCB terpaksa mengalami kemarau kejuaraan liga yang lama selepas kali terakhir merangkulnya pada tahun 1960. Selama 3 dekad yang menyaksikan monopoli Real, FCB hanya mampu merangkul 2 kejuaraan liga.

1 kejuaraan pada 1973 (selepas 13 tahun)
1 kejuaraan pada 1985 (selepas 12 tahun)
Tanpa kejuaraan sehingga 1989 (4 tahun)
Naib juara dari 1960 - 1990 (13 kali)

Tiada apa pencapaian yang layak dibanggakan oleh FC Barcelona di peringkat Eropah mahupun kebangsaan selama tempoh 3 dekad tersebut melainkan semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang bertungkus-lumus meneruskan kesinambungan kelab ketika sedang terumbang-ambing dilanda tekanan yang berterusan. Paling penting mereka telah berjaya menonjolkan semangat kesukanan yang tulen tanpa bergantung kepada mana-mana kuasa empayar untuk menghidupkan dan memajukan kelab sehingga ke hari ini.

Tiada ulasan: