2010-02-09

Sebaik tamat peperangan, FC Barcelona membawa masuk 3 pemain hebat yang menyertai pada tahun 1940, iaitu Cesar Rodriguez Alvarez, Mariano Martin, dan Mariano Gonzalvo Falcon (Gonzalvo II). Cesar tidak dapat bermain bersama-sama Barca selepas diarah ke Granada untuk khidmat ketenteraan. Manakala Gonzalvo III tidak dapat menyesuaikan diri dan terpaksa dipinjamkan ke Real Zaragoza.

Franco mengeluarkan peraturan sekatan selama 6 tahun kepada mana-mana pemain yang kembali ke Sepanyol selepas melarikan diri ke luar negara semasa perang saudara Sepanyol. Walaubagaimanapun, presiden Barcelona yang dilantik daripada ahli setia Franco, Enrique Pineyro, akhirnya berjaya mendapat kelulusan untuk penyertaan semula Josep Escola dan Domenec Balmanya, sebagai pemain Barca pada tahun 1941.

Jurulatih pertama era Franco, Juan Jose Nogues dilantik dan pada tahun 1942, beliau telah membawa masuk penjaga gol muda Juan Zambudio Velasco, dan membawa pulang 2 pemain Barcelona, Cesar Rodriguez dan Gonzalvo III. Cesar Rodriguez menamatkan musim pinjamannya di Granada FC. Manakala Gonzalvo III kembali ke Barca setelah berjaya menaikkan Real Zaragoza ke divisyen satu semasa tempoh pinjamannya. Nogues kemudiannya membawa masuk seorang pertahanan muda Josep Sequer Sans pada tahun 1943, dan Jose Gonzalvo Falcon (Gonzalvo II), abang kepada Gonzalvo III, setahun selepasnya.

Bekas legenda Barca, Josep Samitier menggantikan Nogues pada tahun 1944 selepas Nogues dipecat akibat nyaris membiarkan Barca tersingkir ke divisyen dua. Semasa Samitier mengambil alih Barca, beliau memiliki barisan pemain muda yang berpotensi tinggi rata-rata berumur 25 tahun ke bawah, selain 2 pemain berpengalaman Josep Escola dan Domenec Balmanya.

Depan : Cesar Rodriguez, Mariano Martin, Josep Escola
Tengah : Gonzalvo II, Gonzalvo III, Domenec Balmanya
Pertahanan : Josep Seguer Sans
Penjaga Gol : Velasco

Akhirnya, setahun selepas membimbing Barca, Josep Samitier berjaya membawa pulang trofi La Liga ke Barcelona buat kali kedua pada tahun 1945, dan kali pertama pada masa era pemerintahan Franco.

2010-01-29

Era Michels-Cruyff dan Josep Lluis Nunez


Zaman kegemilangan bolasepak di Belanda bermula seawal 1970-an iaitu semasa era gandingan hebat jurulatih Rinus Michels dan pemain lagenda Johan Cruyff. Rinus Michels yang sedang membimbing FC Barcelona pada ketika itu dilantik sebagai jurulatih Belanda pada tahun tunggal 1974 menghadapi Piala Dunia 1974. Hasilnya, Belanda berjaya ke final Piala Dunia buat pertama kali setelah menewaskan kedua-dua pasukan Brazil dan Argentina dan tewas kepada Jerman Barat di akhir kejohanan. Johan Cruyff, playmaker Belanda yang juga bersama-sama Michels di Barca pada ketika itu, dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan, mendahului Franz Beckenbauer yang menjulang pasukannya sebagai juara. Di Barcelona, Michels dan Cruyff adalah gandingan yang bertanggungjawab mengakhiri kemarau liga selama 14 tahun di Barca pada tahun 1974. Mereka berdua juga merupakan kelahiran Belanda yang pertama menyertai FC Barcelona. Michels meninggalkan Ajax ke Barca pada 1971 sebelum membawa masuk bekas pemainnya, Cruyff pada 1973. Kedua-dua menamatkan karier terawal bersama Barca pada 1978 sebelum kerusi presiden diambil alih oleh Josep Lluís Núñez Clemente.

Rinus Michels merupakan individu yang berIQ tinggi, memperkenalkan corak permainan Total Football iaitu corak yang mementingkan versatiliti, di mana pemain memiliki keupayaan dan bersedia untuk menggalas tugas di posisi yang berbeza, memberi jurulatih kelebihan fleksibiliti untuk memanipulasi pemain-pemain sepanjang perlawanan. Michels dan Cruyff telah berjaya mempraktikkan Total Football di Ajax sebelum memperkenalkannya ke Barca dan ke peringkat antarabangsa semasa Piala Dunia 1974. FC Barcelona adalah antara kelab yang paling awal dan paling aktif mengaplikasikan Total Football sehingga kini, selain beberapa kelab England. Kebanyakan kelab-kelab berprestij mempraktikkan Total Football dengan menggunakan kelebihan pada pemain pertahanan terutamanya fizikal dan stamina, untuk membantu serangan dan mengelirukan pihak lawan. Total Football bukan suatu yang baru di Ajax. Walaupun ia dipopularkan secara taktikal oleh Michels, tetapi jurulatih beliau, Jack Reynolds dari Manchester, yang terlebih dahulu menpraktikkannya di Ajax selama setengah abad.

Pada 1978, presiden lagenda Barca, Josep Lluis Nunez, mengambil alih tampuk kepresidenan FC Barcelona dan memulakan revolusi pembangunan di Nou Camp untuk mengangkat FC Barcelona sebagai institusi sukan yang terhebat di dunia seperti yang dapat dilihat kini. Revolusi ini memaksa Barca melupakan hasrat merangkul kejuaraan untuk jangkamasa yang lama pada beberapa siri kejohanan lantaran banyak dana dihabiskan untuk pembangunan kelab. Tetapi satu pelaburan yang berbaloi yang pulangannya dapat dirasakan oleh peminat-peminat dan ahli-ahli FCB pada ketika ini. Bermula pada tahun 1979, Nunez menubuhkan La Masia sebagai pusat akademi remaja FC Barcelona. Pada 1982, Mini Estadi ditubuhkan sebagai stadium rasmi untuk pasukan simpanan Barca, FC Barcelona Atletic. Kini Mini Estadi diiktiraf sebagai stadium pasukan simpanan yang terbaik di Eropah. Nunez juga telah menaiktarafkan Palau Blaugrana, kompleks sukan Barcelona menjadikan kapasitinya bersaiz 8500. Dan membina sebuah muzeum untuk FC Barcelona pada 1984. Sepanjang kepresidenannya Nunez telah berjaya meningkatkan angka keahlian FC Barcelona mencecah 100000 ahli, yang mendorong penaiktarafan Nou Camp untuk mencapai sasaran kapasiti melepasi 100000 pengunjung.

Selain Total Football, FC Barcelona juga pernah mempraktikkan corak permainan bolasepak England dengan formasi 4-4-2 semasa di bawah kendalian jurulatih dari England, Terry Venables. Venables yang telah menempa nama di England merupakan jurulatih bereputasi tinggi yang pertama dibawa masuk oleh Nunez ke Nou Camp. Venables bijak mengambil peluang atas kekentalan pemain pertahanan seperti Julio Alberto Moreno dan Migueli, membolehkan beliau memanipulasi pemain-pemain lain untuk serangan. Pemain kunci Venables sepanjang eranya adalah Bernd Schuster, seorang pemain tengah yang rajin yang berkhidmat di Barca sejak 1980. Beliau banyak membantu bahagian serangan serta banyak menyumbangkan gol untuk FC Barcelona. Sama seperti gandingan Michels-Cruyff, gandingan Venables-Schuster berjaya menamatkan kemarau kejuaraan liga di FC Barcelona selama 11 tahun pada tahun 1985. Namun, sama seperti dekad sebelumnya, FC Barcelona menamatkan dekad tersebut dengan hanya 1 kejuaraan liga.

2010-01-22

Kemarau Liga dan Permulaan ElClassico

Diskriminasi antara wilayah pada zaman pemerintahan Franco memberi kesan terus kepada perkembangan bolasepak di antara kedua-dua buah wilayah di Madrid dan Catalonia khususnya.


Di Madrid...

Real Madrid kembali diiktiraf sebagai kelab diraja sebaik bermula pemerintahan Franco. Nama kelab ditukar daripada Madrid CF menjadi "Real" Madrid, melayakkan Real mendapat keupayaan potensi kewangan yang tidak terhad daripada pembiayaan kerajaan. Real Madrid umpama mesin bolasepak yang menjadi bahan eksperimen Franco, bukan lagi sebuah pasukan bolasepak tulen yang layak disaingi. Sebagai ujian untuk hipotesis pertama, Presiden Santiago Bernabeu Yeste berjaya mengusul kejohanan di peringkat Eropah kepada UEFA, sekaligus berjaya menyandang gelaran juara Eropah selama 5 tahun berturut-turut bermula pada kejohanan pertama pada 1955.

Berpuas hati dengan pencapaian di peringkat benua, Bernabeu meninggalkan penaklukan Eropah dan meneruskan eksperimen di liga tempatan. Sebelumnya, kerajaan Franco berjaya menghapuskan semua bentuk kejohanan di peringkat wilayah dan memaksa semua kelab di Sepanyol bertumpu kepada La Liga. Selama 3 dekad bermula seawal dekad 60-an hingga penghujung 80-an, daripada 30 musim yang dipertandingkan, Real Madrid berjaya merangkul 19 kejuaraan keseluruhan.

Di Barcelona...

2 dekad selepas pemerintahan Franco pada tahun 1960, di kala berlangsung persaingan adil dan sihat antara FC Barcelona dan Real Madrid, FC Barcelona berjaya mengumpul koleksi terbanyak La Liga dengan 8 kejuaraan, mengatasi Real Madrid dan Atletic Bilbao dengan kelebihan 2 kejuaraan.

1 kejuaraan pada kejohanan pertama La Liga pada 1929
1 kejuaraan pada 1945 (selepas 16 tahun)
4 kejuaraan berkembar sebelum ke Nou Camp 48||49 dan 52||53
2 kejuaraan berkembar di Nou Camp 59||60

Namun untung nasib FC Barcelona kemudiannya tidak sebaik Real. Penyiapan stadium baru mengakibatkan kelab hanya mempunyai baki kewangan yang terhad untuk berbelanja untuk pembelian pemain baru. Sekaligus menyebabkan FCB terpaksa mengalami kemarau kejuaraan liga yang lama selepas kali terakhir merangkulnya pada tahun 1960. Selama 3 dekad yang menyaksikan monopoli Real, FCB hanya mampu merangkul 2 kejuaraan liga.

1 kejuaraan pada 1973 (selepas 13 tahun)
1 kejuaraan pada 1985 (selepas 12 tahun)
Tanpa kejuaraan sehingga 1989 (4 tahun)
Naib juara dari 1960 - 1990 (13 kali)

Tiada apa pencapaian yang layak dibanggakan oleh FC Barcelona di peringkat Eropah mahupun kebangsaan selama tempoh 3 dekad tersebut melainkan semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang bertungkus-lumus meneruskan kesinambungan kelab ketika sedang terumbang-ambing dilanda tekanan yang berterusan. Paling penting mereka telah berjaya menonjolkan semangat kesukanan yang tulen tanpa bergantung kepada mana-mana kuasa empayar untuk menghidupkan dan memajukan kelab sehingga ke hari ini.

2010-01-15

Era Franco

1931, 4 April - Raja Alfonso XIII meninggalkan Sepanyol selepas polisinya mewakilkan diktator Primo de Rivera sebagai kuasa pemimpin, ditentang hebat oleh rakyat Sepanyol, sekaligus mengakibatkan krisis politik dan ekonomi melanda Sepanyol. Berakhirnya zaman monarki di Sepanyol memberi kuasa pentadbiran kepada kerajaan Republikan yang cuba mempraktikkan corak pemerintahan demokrasi di Sepanyol.

1932 - Republikan memberi kuasa autonomi kepada wilayah-wilayah komuniti di Sepanyol, terawal kepada wilayah Catalonia dibawah kepimpinan kerajaan sosialis Catalonia (Generalitat de Catalonia). Ketidaksefahaman yang kuat wujud antara puak-puak berhaluan kiri daripada golongan liberal, marxis, sosialis, dan komunis, yang bergabung membentuk Barisan Popular menentang kerajaan Republikan Sepanyol secara demokrasi.

17 Julai 1936 - Perang Saudara Sepanyol tercetus antara sebuah kuasa Nasionalis dibawah General Francisco Franco yang memiliki kekuatan dan bantuan ketenteraan yang kuat, menentang kerajaan Republikan Sepanyol. Gerakan tentera Franco bermula dengan kebangkitan tentera Sepanyol Afrika di Morocco yang berpaling tadah.

Franco disokong oleh golongan fasis Falange, golongan Carlis, dan bekas kuasa monarki Sepanyol, serta mendapat bantuan ketenteraan daripada kerajaan monarki Islam Morocco, Portugal, kerajaan Nazi Jerman, dan kerajaan Fasis Itali. Republikan pula disokong oleh barisan-barisan berhaluan kiri yang terdiri daripada pertubuhan buruh, komunis, marxis, sosialis, liberal, dan anarki. Dari segi ketenteraan pula Republikan dibantu tentera anarki Catalunia CNT-FIA yang berkubu di Catalonia, dan bantuan ketenteraan daripada negara-negara komunis dan marxist seperti Soviet Union, Mexico, dan Romania.

1937 - Franco berjaya menguasai sebahagian besar Sepanyol, meninggalkan beberapa wilayah di bahagian persisiran pantai Sepanyol di sebelah timur kepada Republikan iaitu Madrid, Castilia, Aragon, Catalunia, dan Valencia. Madrid dijadikan kubu hadapan. Ibu negara Sepanyol dipindah ke Valencia.

1938 - Franco berjaya menawan wilayah Aragon hingga ke pesisir pantai. Menyebabkan Catalan terpisah daripada wilayah-wilayah Republikan yang lain. Kerajaan Republikan memindahkan ibu negara Sepanyol ke Barcelona dan mengisytiharkannya sebagai kubu terakhir.

1 April 1939 - Kerajaan Nasionalis dibawah diktator General Francisco Franco berjaya merampas tampuk pemerintahan Sepanyol daripada kerajaan Republikan.

sumber : wikipedia

------------------------------


1928 - Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol telah meluluskan penganjuran kejohanan liga pada peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai La Liga. 10 kelab daripada 4 komuniti berbeza dipilih sebagai pasukan-pasukan sulung penyertaan berdasarkan pencapaian pada Copa del Rey. Barcelona, Espanyol, dan Europa dari Catalonia. Real Madrid dan Athletico Madrid dari Castilia. Atletic Bilbao, Real Sociedad, Real Union, dan Arenas Club de Getxo dari Basque. Dan Racing Santander dari Cantabria. Barcelona berjaya merasmikan kejuaraan pada kejohanan sulung La Liga pada 1929. Sehingga kini, hanya Real Madrid, Barcelona, dan Athletic Bilbao yang belum pernah tersingkir dari kejohanan.

Jadual Kedudukan Pasukan Pada La Liga Pertama 1929

Position Club Played W D L GF GA Points GD
1 FC Barcelona 18 11 3 4 37 23 25 +14
2 Real Madrid 18 11 1 6 40 27 23 +13
3 Athletic Bilbao 18 8 4 6 43 33 20 +10
4 Real Sociedad 18 8 4 6 46 41 20 +5
5 Arenas Club de Getxo 18 8 3 7 32 39 19 -7
6 Club Atlético de Madrid 18 8 2 8 43 41 18 +2
7 RCD Espanyol 18 7 4 7 32 38 18 -6
8 Club Esportiu Europa 18 6 4 8 45 49 16 -4
9 Real Unión de Irún 18 5 2 11 40 42 12 -2
10 Racing de Santander 18 3 3 12 25 50 9 -25


1936 - Semasa perang saudara Sepanyol, hanya kelab yang berpengkalan di Madrid, Castilia, Catalonia, dan Valencia, yang masih di bawah kerajaan Republikan. Maka sepanjang peperangan, La Liga terpaksa dimansuhkan selama 3 musim.

1937 - Liga Mediterranean diperkenalkan menggantikan La Liga, melibatkan kelab-kelab di bawah kerajaan Republikan, manakala Piala Kebebasan Sepanyol menggantikan Copa del Rey. Wakil dari Madrid tidak dapat menyertai Liga Meditteranean kerana kawasan mereka diisytiharkan Republikan sebagai kubu hadapan. Maka Liga Meditteranean mengambil separuh wakil dari Kejohanan Catalonia dan separuh lagi dari Kejohanan Levante. Barcelona dan Espanyol masing-masing bergelar juara dan naib juara tunggal Liga Meditteranean. Tetapi Barcelona menarik diri dari Piala Kebebasan Sepanyol untuk edisi jelajah ke US dan Mexico.

1938 - Liga Meditteranean gagal untuk diteruskan apabila Valencia terpisah daripada Barcelona, digantikan dengan Liga Catalan yang hanya mempertemukan kelab-kelab di wilayah Catalonia. Walaupun hanya membawa pulang 4 orang pemain ke Sepanyol, jurulatih Barcelona, Patrick O'Connell, berjaya menyelamatkan kewangan kelab daripada edisi jelajahnya, sekaligus menjuarai kedua-dua kejohanan yang dianjurkan iaitu kejohanan tunggal Liga Catalan dan juga Kejohanan Catalunia.


1939 - Kejohanan La Liga kembali disambung di bawah pemerintahan rejim Franco selepas tamat peperangan. Kejohanan Catalunia yang tidak pernah dihentikan sejak diperkenalkan, berlangsung buat kali terakhir pada final 1940 dengan RCD Espanyol sebagai juara penutup. Kerajaan diktator Franco mengarahkan supaya ia dimansuhkan sebagai mematuhi polisi kerajaan menghapuskan segala bentuk pertubuhan atau penganjuran yang berasaskan semangat nasionalism.

-----------------------------


Pemerintahan diktator Franco banyak memberi tekanan kepada institusi-institusi di Catalonia akibat dari diskriminasi sosial dan politik. Ini memandangkan Catalonia adalah wilayah yang paling kuat semangat nasionalism berbanding dengan wilayah lain sejak dianugerahkan kuasa autonomi pada tahun 1932. Rejim Franco melarang sebarang penerbitan bercetak atau suara menggunakan bahasa Catalan. Dari sudut pembangunan, saluran bantuan ekonomi ke Madrid dipertingkatkan. Sebaliknya di Barcelona, diskriminasi ekonomi diperhebatkan. Diskriminasi ini memberi kesan yang berpanjangan sehingga konstitusi demokratik Sepanyol dikembalikan pada 1978, 3 tahun selepas kematian Franco, yang membolehkan Pentadbiran Catalunia berkuasa semula.

Di FC Barcelona, kelab terpaksa menghadapi penurunan bilangan ahli yang mendadak bermula sejak kejatuhan kerajaan monarki Alfonso XIII. Sebulan selepas bermula perang saudara, presiden FCB, Josep Sunyol dikesan sebagai ahli Republikan Kiri Catalonia, dan dibunuh oleh rejim Franco semasa Patrick O'Connel memulakan edisi jelajah Barca ke benua Amerika. Semasa perang saudara pada 16 Mac 1938, tentera fasis bertindak mengebom bangunan pejabat FCB.

Selepas peperangan, larangan ke atas penggunaan simbol Catalan secara rasmi termasuk di stadium dikeluarkan oleh kerajaan Franco. Tidak cukup dengan itu, kerajaan Franco melantik pengikut setianya, Enrique Pineyro sebagai presiden kelab. Satu-satunya jasa Pineyro adalah membawa masuk pemain yang meninggalkan Sepanyol ke Perancis semasa perang saudara, iaitu Josep Escola dan Domenec Balmanya. Namun, Pineyro terpaksa meninggalkan kelab selepas diboikot oleh para penyokong apabila tewas 1 gol berbalas 11 kepada Real Madrid di Santiago Bernabeu pada perlawanan kontroversi Copa del Generalisimo pada 1943.

Meskipun dibeban dengan tekanan politik dan dasar disriminasi yang hebat daripada kerajaan Franco, pihak pengurusan FC Barcelona berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan dan cuba mengelakkan diri dari terjebak dalam apa jua bentuk gerakan berunsur nasionalis yang dicop oleh rejim Franco sebagai Catalanism. Kesan pendekatan ini banyak menguntungkan kelab. Sepanjang dekad pertama pemerintahan Franco, ahli kelab bertambah setiap hari dan mencecah angka 25000 menjelang ulang tahun ke-50 FC Barcelona pada tahun 1949. Ini mendorong FCB mencari tapak gelanggang baru bagi menggantikan Les Corts. Maka pada tahun 1957, FC Barcelona berpindah ke stadium baru di Nou Camp yang berkapasiti 90000.

2010-01-08

Kelahiran FC Barcelona dan Era Joan Gamper

Joan Gamper, seorang peniaga daripada Switzerland merupakan insan yang bertanggungjawab menubuhkan FC Barcelona pada 29 November 1899 bersama-sama kawan-kawannya. Sebelum berhijrah ke Barcelona, Joan Gamper adalah pemain pasukan Switzerland FC Basel. Selepas FCB berjaya ditubuhkan, Gamper dan rakan-rakannya menjadi generasi pertama bermain untuk pasukan. Gamper berperanan sebagai kapten selaku jurulatih pasukan manakala Gualteri Wild daripada England dilantik sebagai presiden dan pengurus pasukan. Selepas 2 tahun, Bartomeu Terradas pula mengambil alih jawatan Wild pada 1901. Gamper sendiri pernah menjawat jawatan presiden FC Barcelona sebanyak 5 kali berselang-seli bermula 1908 hingga 1925 selama 9 tahun.

Barisan yang bertanggungjawab menubuhkan FC Barcelona pada 1899 : Joan Gamper, Gualteri Wild, Lluís d'Ossó, Bartomeu Terradas, Otto Kunzle, Otto Maier, Enric Ducal, Pere Cabot, Carles Pujol, Josep Llobet, John Parsons and William Parsons.


Barisan pemain-pemain rasmi pertama FC Barcelona pada 1901 : Arthur Witty, Vicenc Reig, Otto Maier, Pere Cabot, Josep Llobet, Viderkeher, Valdes, Williams Parsons, Steinberg, Joan Gamper, Green, Conarre

Warna Biru-Merah yang menjadi warna identiti FC Barcelona diinspirasikan daripada kelab FC Basel, bekas kelab Joan Gamper. Logo pertama FCB diambil daripada logo Catalan yang menjadi logo rasmi pentadbiran bandaraya Barcelona pada ketika itu. Kit pertama yang dipakai oleh pasukan Joan Gamper juga mempunyai warna biru dan merah sebelah-menyebelah.


Copa Macaya adalah kejohanan liga bolasepak pertama di Sepanyol yang mempertemukan kelab-kelab dari seluruh wilayah Catalonia, diperkenalkan pada 1900 oleh Alfons Macaya, presiden Hispania AC pada ketika itu. Hispania AC menjadi juara sulung kejohanan tersebut semasa final pertama pada 1901. FC Barcelona berjaya merampas gelaran setahun kemudian diikuti oleh RCD Espanyol. Persatuan Bolasepak Catalunya yang ditubuhkan pada 11 November 1900 yang merupakan pertubuhan pengurusan bolasepak terawal di Sepanyol, mengambil alih penganjuran Copa Macaya pada 1903 dan menukar namanya kepada Kejohanan Bolasepak Catalan (Campeonato de Catalunia). Sepanjang penganjuran kejohanan tersebut sebelum dimansuhkan pada 1940, FC Barcelona telah berjaya merangkul 22 kejuaraan, manakala RCD Espanyol sebanyak 11 kejuaraan. Persatuan Bolasepak Catalunya kini bertanggungjawab menguruskan pasukan bolasepak kebangsaan Catalan, menganjurkan Copa Catalunya, mentadbir kejohanan divisyen 4 kumpulan 5 (komuniti Catalan) liga Sepanyol, serta kejohanan divisyen 5 hingga 9 komuniti Catalan.

FC Barcelona memulakan detik permainan pada tahun 1901 dengan menyertai kejohanan liga Copa Macaya, dan kejohanan kalah mati Copa del Rey yang baru diperkenalkan pada ketika itu. FCB berjaya menjuarai Copa Macaya pada final 1902 namun kalah pada final Copa del Rey kepada Bizcaya di Madrid. Setahun kemudian, FCB hanya berjaya menjuarai kejohanan tunggal Copa Barcelona. FC Barcelona gagal memenangi sebarang trofi selepas kali kedua menjuarai Kejohanan Bolasepak Catalan (CdC) pada final 1905. Begitu juga dengan Copa del Rey, selepas bergelar naib juara sulung, FCB masih gagal ke final buat kali kedua. Kemerosotan pencapaian kelab ini memberi kesan buruk kepada status kewangan kelab.


Pada 1908, Joan Gamper mengambil alih tampuk jawatan presiden daripada bekas rakan sepasukan, Vicenc Reig, dan kemudian membawa FCB ke Carrer Industria yang berkapasiti 8000. Gamper seterusnya memulakan kempen mendapatkan ahli untuk mengumpul dana bagi menghidupkan kelab. Sebaik selepas pengambilalihan itu, FCB berjaya menjuarai CdC sebanyak 3 kali berturut-turut. FCB juga berjaya ke final Copa del Rey buat kali kedua pada 1910 dan bergelar juara buat kali pertama. Pada 1912, FCB berjaya mendapatkan bintang baru daripada England, Jack Greenwell yang bermain selama 5 musim. Greenwell menyertai FCB bersama-sama seorang lagi lagenda kelab, Paulino Alcantara. Sebaik Greenwell menggantung butnya, Joan Gamper kembali sebagai presiden pada 1917 dan melantik Greenwell sebagai pengurus rasmi FCB yang pertama. Gandingan mantap Joan Gamper dan Jack Greenwell berjaya membawa FC Barcelona ke zaman emasnya yang pertama. Pada tahun 1922, FCB berjaya mengumpul 10000 ahli, membolehkan mereka berpindah ke stadium baru di Les Corts, dan mengembangkan kapasiti stadium daripada 22000 kepada 60000. Sepanjang era Joan Gamper dari awal penubuhan kelab hingga beliau meninggalkan FC Barcelona, pasukan FC Barcelona berjaya merangkul beberapa kejuaraan.

- sebelum Gamper menjadi presiden ...........................................1 CdC (05)
- sebelum kemunculan Greenwell ................................................3 CdC (09,10,11) + 2 CdR (10,12)
- semasa Greenwell bermain .........................................................2 CdC (13,16) + 1 CdR (13)
- semasa Greenwell menjadi pengurus ........................................5 CdC + 3 CdR
- tahun terakhir Joan Gamper di FC Barcelona pada 1925 .............1 CdC + 1 CdR
- jumlah kejuaraan ..........................................................................12 CdC + 6 CdR


Pada saat-saat terakhir sebelum Gamper meninggalkan FC Barcelona, berlaku insiden yang mengakhiri kariernya di FC Barcelona pada 24 Jun 1925. Gamper didakwa atas kesalahan membangkitkan semangat kebangsaan Catalanism apabila beliau menjemput band "British Royal Marine" untuk menyampaikan lagu "God Save The Queen" iaitu lagu kebangsaan United Kingdom. Disusuli dengan penyokong FC Barcelona menghina "Royal March", lagu kebangsaan Sepanyol, sebagai tindakbalas kepada pemerintahan diktator Primo de Rivera. Akibatnya, Les Corts ditutup selama 6 bulan dan Joan Gamper diarahkan meletak jawatan seumur hidup. 5 tahun kemudian, Joan Gamper membunuh diri akibat masalah kewangan dan peribadi.

Sebagai penghormatan di atas jasa Joan Gamper membangunkan kelab, FC Barcelona akan menganjurkan perlawanan persahabatan setiap tahun yang dinamakan Trofi Joan Gamper. Pada 19 Ogos 2009, perlawanan Trofi Joan Gamper menemukan FC Barcelona dengan Manchester City yang menyaksikan Manchester City menang tipis 1-0

2010-01-01

The Sextuple






pertama sekali aku nak ambik kesempatan pada hari ni utk ucap selamat tahun baru 2010 kepada semua terutama buat sesiapa yang membaca atau terbaca blog ni dan khusus utk peminat2 FC BARCELONA. aku sebenarnya dah lama teringat nak tulis blog psl team faveret aku ni. memikirkan suatu yg sia2 memperkenalkan Barca kpd rakyat bani2 malaysia, maka aku mengambil keputusan membantutkan niat tersebut. tidak dinafikan Barca adalah antara kelab yg paling kuat bergelut dgn tekanan dan krisis. namun apakan daya rekod di atas kertas mereka tidak sehebat pasukan2 anak emas kapitalis mahupun kerajaan, apatah lg dibandingkan pada nilai komersial. akhirnya aku mengambil keputusan tnggu dan lihat. sejak awal 2009 lagi aku menjangkakan sesuatu akan berlaku di Camp Nou pada akhir tahun 2009 melihatkan kepada apa yg telah berlaku pada 6 bulan sebelumnya sejak Rijkaard menyerahkan baton kepada Guardiola.

dan akhirnya berlaku seperti yg dijangkakan. pasukan FC Barcelona mencipta sejarah agung dalam siri sejarah bolasepak dunia, menamatkan dekad pertama milenium ini dgn merangkul gelaran THE SEXTUPLE di bawah kendalian sulung jurulatih baru Josep Guardiola, satu gelaran tak rasmi yg diberi kepada pasukan yg berjaya menjulang 6 kejuaraan dari 6 kejohanan rasmi yg berbeza yang disertai dalam masa setahun. satu pencapaian yg tak pernah dlm sejarah mana2 pasukan dapat. satu milestone yg unik dan layak menerima pghormatan. dan di saat2 akhir sebelum melangkah ke dekad baru, barcelona berjaya melahirkan seorang lagi pemain terbaik dunia membuka gerbang 2010, Lionel Messi.

Barcelona mungkin layak dinobatkan sebagai pasukan terbaik sepanjang 5 tahun terakhir sebelum 2010. namun utk keseluruhan dekad, perlu diakui Blaugrana masih belum mampu menandingi rekod Manchester United yg bermula gagah lebih awal. begitu juga dengan calon utk pemain terbaik. Ronaldinho yg telah menempah nama utk tempoh separuh dekad kedua di Barcelona, gagal bertahan lebih lama utk berada sebaris dgn calon drpd Real Madrid, Zinedine Zidane dibezakan oleh faktor tahap disiplin. walaubagaimanapun kejuaraan maksimum segera pada musim lepas di bawah jurulatih 'taruhan' Josep Guardiola bukan hanya satu-satunya rekod kejayaan yg menjadi kebanggaan Barca. Malah Barcelona lebih layak berbangga dengan sistem remajanya La Masia yg layak diiktiraf sbgai yg terbaik di dunia, berjaya melahirkan paling ramai pemain-pemain yg menggenapkan senarai pemain-pemain pilihan dunia.

bg aku dlm bolasepak wang boleh membeli publisiti dan pengaruh, tetapi tidak mampu membuat seseorang penyokong berpaling arah drpd menyokong pasukan Barcelona. aku lebih ramai kenal mereka2 yg menyokong kelab2 yg bermain di liga England. kenapa?. dasar kapitalis media yg lebih mementingkan siaran yg memberi pulangan yg lumayan kpd mereka, bukan melihat kpd permainan yg cantik dan menarik. maka Barcelona bukanlah sebuah kelab yg namanya disemboyankan setaraf kelab2 England di kaca mata rakyat Malaysia. ramai yg x kenal Barcelona. tp xpela, sekurang2nya ada jugak membe2 aku yg mula menyokong Barcelona selepas bosan dgn gaya hidup artis, skandal, kontroversi, dan mutu permainan yg hampas ditunjukkan oleh pemain-pemain kelab-kelab England.

apa yg x hebat pada kelab liga lain? memang hebat... tp aku bukan x reti nak sokong diorang terutamanya kelab dari England. permainan mereka yg jarang konsisten membosankan aku. naluri aku lebih tertarik dgn corak permainan konsisten spt possesion football dan fixed position yg menjadi identiti Blaugrana sejak zaman nenek korang lagi. biar x menang asal puas ati. x taulaa cane drng leh start men camtu, sejak bila, idea sape, yg aku tau Rijkaard ngn Guardiola kedua2nya follow the style sepanjang perlawanan. akan aku kaji semua tu. sebelum Barcelona, aku terlebih dahulu kenal dan minat Ronaldinho selepas leka menonton perlawanan Brazil pada siaran World Cup 2002. masa tu Ronaldinho main ngn Paris mengikut kat game FIFA. mana ada wikipedia dulu beb.

staun selepas World Cup, Rijkaard bwk Ronaldinho ke kelab faveret beliau, Barcelona. masa tu zaman "Oranje Barcelona" dah berlalu, lepas Kluivert and the gang blah. sejak tula aku tertarik dgn Barca. jarang2 skali dpt tgk game diorang kalau x kerana adanya siaran langsung Champions League kat media prima masa tu. sedar2 dah 5 tahun aku menyokong FC Barcelona. game yg paling aku xleh lupa pernah aku tgk adalah ElClassico 2005 pada 19 November di Nou Camp masa 3R, Ronaldinho, Ronaldo Tua, Roberto Carlos men skali. smpai skang aku xleh lupa game ni. gio, guily, deco, marquez, oleguer, edmilson, sylvinho, belleti, eto, larsson, van bommel, ronaldinho. dh pg rata2 drng ni. tgk sndirik la ek.